2 sahabat tamatkan kayuhan kelilingi dunia

MOHD. Aswad Zainal (kiri) dan Abdul Khalid Zakaria membuat kayuhan penamat di hadapan Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, Kedah

KUBANG PASU 31 Julai – Selepas menempuhi pelbagai rintangan dan ujian, dua sahabat berjaya menamatkan pengembaraan berbasikal mengelilingi dunia sejauh 28,000 kilometer dengan merentasi 18 buah negara dalam masa 380 hari.

Koperal Abdul Khalid Zakaria, 41, dan Mohd. Aswad Zainal, 25, memasuki sempadan Thailand-Malaysia di Bukit Kayu Hitam di sini kira-kira pukul 1.40 petang ini setelah memulakan penjelajahan itu di Putrajaya pada 14 Julai tahun lalu menerusi projek Berbasikal Mengelilingi Dunia Kedua (BMD-2).

Lebih manis terutama bagi Abdul Khalid yang merupakan anggota Grup Gerak Khas (GGK), kejayaan itu dilakar pada sambutan Hari Pahlawan hari ini dan ketika negara menghampiri sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Antara negara yang dijelajahi mereka ialah Thailand, Laos, China, Uzbeskistan, Iran, Turki, Greece, Itali, Perancis, England, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Meskipun gagal memecahkan rekod yang dipegang oleh adik-beradik, Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman dan Mohd. Ridhwan sebagai anak Malaysia pertama berbasikal mengelilingi dunia selama 388 hari sembilan tahun lalu, mereka tetap berbangga kerana berjaya menyempurnakan projek tersebut.

Ketibaan mereka di sempadan negara hari ini diiringi oleh kira-kira 32 penunggang basikal daripada Kelab Basikal Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan disambut oleh anggota keluarga sebelum diraikan pada satu majlis di Batalion Kelima Rejimen Sempadan.

Hadir sama ialah Hasan Nawawi yang merupakan penaung BMD-2 dan Pengarah GGK, Kolonel Fadzil Tajuddin.

Abdul Khalid ketika ditemui pemberita berkata, penjelajahan lebih setahun itu benar-benar menguji semangat dan kemampuan mereka namun dapat mengharungi segala rintangan atas kerjasama yang erat.

Katanya, semangat Malaysia Boleh turut menjadi dorongan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kayuhan penuh getir itu.

“Kami mengharungi pelbagai bentuk muka bumi termasuk gunung ganang di kebanyakan laluan di China, Turki dan keadaan bersalji yang ekstrem di hampir keseluruhan Eropah.

“Kami bangga kerana berjaya menyempurnakan misi ini dan amat bersyukur apabila selamat pulang ke tanah air seterusnya dapat menjalani ibadah puasa bersama keluarga,” kata bapa kepada empat anak berusia antara enam hingga 15 tahun itu.

Sementara itu, Mohd. Aswad yang masih bujang dan berasal dari Ipoh berkata, kejayaan mereka menyempurnakan BMD-2 membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil selagi ada kemahuan dan semangat.

“Saya berharap usaha saya ini akan membuka mata anak muda supaya sentiasa melakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh mencapai sesuatu,” katanya.

Dalam pada itu, Hasan Nawawi yang juga merupakan Yang Dipertua MPKj berkata, cabaran BMD-2 menyaksikan hampir 30 peratus laluan berbeza berbanding projek BMD pertama yang dilakukannya sebelum ini.

Katanya, halangan lebih getir terutama apabila Abdul Khalid dan Mohd. Aswad menjadi mangsa kerenah birokrasi yang mana mereka tidak diberi kebenaran memasuki Turkmenistan walaupun dibantu Kedutaan Malaysia di Uzbeskistan, merupakan faktor utama kedua-dua penunggang gagal memecahkan rekod projek BMD pada 2002.

One Response to “2 sahabat tamatkan kayuhan kelilingi dunia”

  1. datang sini bawak senyuman, nk bawak milo tp puasa, huhu selamat berpuasa..=)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: