Erti puasa Malek Noor


MALEK dan Amelin bersama ibu dan bapa kandung Amelin, Sharifah Rohani dan Nik Mahmood.

ADA yang bertanya mengapa Malek Noor menjadi figura pertama untuk ditemu bual pada hari pertama Ramadan Al Mubarak yang bermula hari ini.

Relevannya mudah. Barangkali ada yang beranggapan bekas jaguh bina badan negara ini terlalu ‘senior’ untuk dijadikan bahan utama. Namun bukan itu yang Kosmo! pedulikan.

Sebaliknya, kami mahu berkongsi cerita tentang pengalaman puasa bagi figura yang mengaku tidak pernah berpuasa sepanjang usianya sehingga menjangkau usia tua.

Sebelum ini, umum tahu Malek telah membogelkan kisah hidupnya yang tidak pernah hidup berlandaskan jalan Islam. Tidak solat, memakan makanan haram termasuk daging khinzir dan meminum arak adalah hal bukan tabu bagi dirinya.

Begitu juga soal kewajipan berpuasa. Malek tidak berasa penting untuk dia berpuasa sedangkan ia adalah rukun Islam kedua yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam.

Namun selepas mendapat hidayah sekitar usia 46 tahun, kehidupan Malek kini berubah secara total. Dia telah lama meninggalkan segala yang haram dan berusaha menjadi umat Islam yang baik dengan menunaikan sebanyak mungkin kewajipan yang disyariatkan, termasuklah berpuasa di bulan Ramadan.

Tahun ini, baru genap 10 tahun Malek Noor berpuasa penuh. Dia tidak malu untuk mengaku hal tersebut walaupun kini usianya sudah menjangkau 55 tahun.

Banyak cerita yang dikongsi Malek tentang keterujaannya berpuasa. Bagi figura yang baru pulang mengerjakan umrah pada awal tahun ini, nikmat berpuasa tidak boleh ditukar ganti.

“Alhamdulillah, sejak selepas bertaubat, saya masih belum pernah tertinggal satu hari pun puasa. Malah saya juga melakukan puasa sunat seperti puasa enam dan sebagainya.

“Saya kini berusaha sehabis baik untuk menggantikan semua dosa tidak berpuasa yang pernah saya lakukan dahulu,” ujarnya sambil tersenyum.

Malek memberitahu, sewaktu zaman dia tidak mempedulikan kewajipan berpuasa, dia akan makan pada waktu siang hari seperti biasa.

“Tapi saya masih hormat orang lain yang berpuasa, jadi saya tidak makan di tempat umum. Lagi pula saya pun dikenali orang, saya harus menjaga nama juga pada waktu itu. Jadi saya hanya akan makan di rumah seperti biasa dan tidak mempedulikan tentang ibadat ini,” luahnya jujur.

Bukan ulama

Mengajak Malek berkongsi serba sedikit tentang transformasi dirinya kini, dia tidak mahu khalayak melihatnya sebagai seorang alim ulama, sebaliknya cukup sebagai salah seorang manusia yang pernah melakukan terlalu banyak khilaf dan sudah bertaubat nasuha untuk kembali patuh ke jalan-Nya.

Mengaku menjalani transformasi negatif kepada positif secara berperingkat-peringkat, perkara keji yang dilakukan secara drastik sebaik mendapat hidayah adalah berhenti memakan daging khinzir dan meminum arak. Sementara hal-hal buruk lain seperti pergi ke kelab malam dan sebagainya dilakukan secara berperingkat.

“Selepas saya mendedahkan kehidupan lampau saya, saya telah mendapat pelbagai respons daripada banyak orang.

“Ada yang menyokong, ada yang sebaliknya mengatakan saya memalukan diri dan keluarga kerana membuka aib yang tidak akan dibuka oleh orang lain.

“Ingin saya tegaskan di sini, saya bukan mahu memalukan keluarga atau membuka aib, sebaliknya saya mahu berterima kasih kepada Allah S.W.T kerana masih memberi saya ruang untuk memperbaiki diri dengan menyedarkan saya tentang khilaf yang dilakukan sebelum saya meninggal dunia dalam kesesatan.

“Saya juga tidak malu mengaku keburukan lampau kerana saya tidak takut atau malu dengan pandangan masyarakat, sebaliknya saya mahu dan takut hanya pada Allah S.W.T sahaja,” tegasnya.

Biarpun sudah berubah paksi, itu tidak bermakna Malek melupai duniawi terus. Dia memberitahu kadang-kala masih bertemu teman-teman lama dan masih mengunjungi karaoke.

Katanya: “Sebab itu saya kata saya bukan alim ulama. Kehidupan saya banyak berubah tetapi saya juga harus menyeimbangi kehidupan duniawi asal ia tidak berlebihan dan sentiasa mementingkan akhirat.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: