Archive for the gaya dalam bercinta Category

tazkirah malam: gaya-gaya dalam perhubungan cinta.

Posted in gaya dalam bercinta on May 14, 2010 by sekamarrindu2009

Assalamualaikum…sudah agak lama saya tidak menulis tazkirah, maka di malam yang hening ini, sebelum mata lena di peraduannya, sempat saya menitipkan tazkirah malam untuk tatapan sahabat-sahabat saya yang singgah di sini..

Ilmu pikat memikat sudah tentu menjadi suatu kemestian bagi mereka yang mahukan kelangsungan percintaan berjalan mulus. Gaya bercinta setiap individu ada bermacam-macam bentuk dan gayanya yang akan menentukan matlamat sebenar mereka. Apakah yang mereka cari dalam percintaan itu.
Ada gaya romantis, gaya cinta suka-suka, gaya cinta sahabat, gaya cinta gila, gaya cinta logika dan gaya cinta terkorban. Gaya cinta romatis, biasanya aspek fizikal sangat diutamakan, mungkin cinta pandang pertama, dan dalam gaya ini adalah percampuran emosi, keasyikan antara kedua-dua pasangan. Bagi gaya cinta suka-suka pula, selalunya digayakan oleh seseorang yang tidak mahukan sebarang komitmen. Suka menggoda namun tidak ada perancangan jangka masa panjang.
Bagi cinta sahabat pula, gaya ini menitikberatkan perkongsian aktiviti berbanding penglibatan emosi dalam perhubungan mereka. Mereka yang berada di dalam kategori ini, biasanya jarang merajuk atau berasa cemburu seandainya perpisahan terjadi, ianya tidak menimbulkan kerisauan. Bagi gaya cinta gila pula, mereka melampau dalam bercinta, sentiasa diobsesi oleh kekasih dan suka cemburu buta dan suka mengokong pasangan. Cinta logika pula, mempunyai gaya yang praktikal dan realistik. Individu yang menggayakan cinta ini suka memikirkan keuntungan peribadi. Mereka inginkan keserasian latar belakang masing-masing dan perasaan cinta akan tumbuh setelah pasangan membuat perhitungan bahawa pasangan benar-benar layak untuknya.
Manakala cinta terkorban pula, mereka berhati mulia, mesra dan tidak mengharapkan balasan daripada orang yang dicintainya serta sedia memaafkan kesilapan pasangannya. Mereka lebih mementingkan kebahagiaan pasangannya berbanding diri sendiri.

Begitulah pelbagai gaya cinta manusia yang mendatangkan kebahagiaan dan kesengsaraan bagi sesiapa yang melakonkannya. Semuanya adalah pilihan masing-masing. satu persoalaan yang saya lontarkan di sini ialah: Di manakah cinta sejati yang menjanjikan kebahagiaan berpanjangan hingga ke akhir hayat kita? Selagi anda masih disebut sebagai insan yang jauh dari kesempurnaan maka anda tidak akan pernah memiliki yang terbaik. Melainkan di syurga Allah swt di mana kekasih-kekasih Allah swt yang diciptakan untuk ahli syurga adalah pilihan yang sempurna. Itulah manusia yang tidak lepas dari membuat silap. termasuk aku pun..
GAYA IKHLAS
Maknanya miliki cinta hanya untuk anda berdua sahaja. Jika si dia ada di sisi, tiada sesiapa pun yang dapat mempengaruhi kasih sayang anda kepadanya melainkan Allah swt. Tali kasih sayang ini hak milik kekal anda berdua. Jangan ada orang lain yang cuba menjejaskan hubungan itu. Maka hargailah keikhlasan cinta pasangan selagi dia menyintai diri anda. Gaya cinta ikhlas ini tidak akan menjadi seandainya hanya sebelah pihak saja yang mengaktifkannya. Setiap pasangan perlu berbincang untuk memastikan kedua-duanya berada dalam komitmen yang satu.
GAYA IMPIAN
Setiap hari mesti ada cita-cita yang anda berdua kejar hingga dapat. Hal ini menyeronokkan bagi membuktikan anda berdua pada landasan yang sama, arah tuju dan impian yang satu. Merancang untuk memiliki anak (bagi suami isteri), membeli rumah tempat tinggal pasangan, kereta dan percutian setiap hujung tahun. menambah pendapatan dan yang terpenting menambah ilmu, iman dan ibadah agar ketenangan hati pasangan sentiasa terpelihara. Beban kerja sama-sama diagihkan untuk membina rumahtangga yang rukun damai. Kadang kala seorang suami berasa tidak seronok bila balik ke rumah dalam keadaan stress manakala isteri pula tidak memahami perasaan isterinya. Sikap seperti ini berpunca daripada gaya mereka mencipta impian sendiri-sendiri.
GAYA IBADAH
Perkahwinan itu adalah ibadah yang boleh merangsang iman anda lebih bertenaga. kalau dulu setiap ujian dan dugaan dihadapi berseorangan, tetapi kini ada teman di sisi yang mahu berbagi susah dan senang. Kalau dulu sembahyang mendapat 1 pahala kini 27 darjat bagi sepasang hamba Allah swt yang sujud bersama-sama. Dulu rezeki yang diperolehi hanya untuk dimakan untuk diri sendiri, kini apa yang kita nafkahkan untuk keluarga adalah sedekah yang paling utama di sisi Allah swt. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
” satu dinar yang kamu sedekahkan, di jalan Allah swt, satu dinar yang kamu gunakan untuk memerdekaan hamba, satu dinar yang kamu sedekahkan kepada fakir miskin, dan satu dinar yang kamu sedekahkan untuk keluargamu, semua itu yang paling besar pahalanya adalah yang kamu nafkahkan untuk keluargamu.. ( hadis riwayat Muslim).
wasalam.
p/s: berlayarlah walau habis kain layar.. ambil jasadku jadikan selimut.. biar malammu tidak kesejukan…jika padam pelita di kabin..ambil air mataku..jadikan minyak..biar tidak padam cahaya di hatimu...
Advertisements