Archive for the Singapura kembalikan Logi Air Kepada Johor Category

Singapura kembalikan Logi Air Kepada Johor

Posted in Singapura kembalikan Logi Air Kepada Johor on September 2, 2011 by sekamarrindu2009

PEMANDANGAN Loji Air Gunung Pulai, Pontian yang diserahkan semula oleh Singapura kepada Johor selepas Perjanjian Air 1961 tamat secara rasmi kelmarin.

JOHOR BAHRU – Singapura menyerahkan semula dua loji rawatan air serta dua rumah pam kepada Johor selepas tamat Perjanjian Air 1961 secara rasmi kelmarin.

Selain Loji Air Gunung Pulai, republik itu menerusi Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) menyerahkan Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian berikutan tamatnya kontrak bekalan air selama 50 tahun.

Majlis penyerahan keempat-empat prasarana kemudahan rawatan air itu disaksikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Loji Air Gunung Pulai kelmarin.

Ia disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi PUB, Tan Gee Paw dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Obet Tawil.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan.

Keputusan untuk menyerahkan kemudahan air itu secara percuma dicapai semasa pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong pada 24 Mei tahun lalu.

Sebelum ini, dilaporkan penyerahan kemudahan air oleh PUB itu akan menghasilkan tambahan 681 juta liter air bersih sehari untuk negeri Johor.

Ekoran tamatnya perjanjian itu, Johor akan mengurus 43 daripada 44 loji rawatan air di negeri itu manakala PUB akan terus menguruskan Loji Rawatan Air Sungai Johor dan Empangan Linggiu di Johor.

Terdapat dua Perjanjian Air Johor-Singapura iaitu Perjanjian Air 1961 yang tamat pada 31 Ogos 2011 dan Perjanjian Air 1962 yang akan tamat pada 2061.