Archive for the kekasih lama hadir… Category

Jika bekas kekasih isteri hadir…apa suami harus buat….?

Posted in kekasih lama hadir... on December 5, 2010 by sekamarrindu2009

Wanita yang matang selalunya pandai menguruskan perasaan. Kekuatannya terletak pada keyakinan diri bahawa dia tidak akan mahu larut dalam emosi negetif yang merosakkan peribadinya. Isteri yang solehah faham dan yakin bahawa hanya suaminya saja yang berhak atas hati dan cintanya, satu untuk selamanya..dunia dan akhirat. Walaupun sang suami bukan cintanya yang pertama tetapi biarlah cinta anda cinta yang terakhir hanya untuknya saja. Jika bekas kekasih hadir mengisi ruang hidup anda, bagaimana cara menguruskan hati dan perasaan agar kesuciannya dapat dijaga?
Sesungguhnya syahwat yang menyengat itu lebih ganas daripada sengatan kala yang berbisa. Wanita selalunya mempunyai perasaan jauh lebih halus berbanding lelaki. Di sudut hatinya pasti tersisa kenangan manis ketika bersama kekasih yang pertama.
Jikanya ada, anggaplah ia sebagai mimpi yang sememangnya bukan realiti. Sesiapapun boleh hadir di hati anda tetapi hanya anda yang memegang kendali “hati’ anda sendiri bukan lelaki itu. Jika lelaki itu mengganggu perasaan anda setiap hari mungkin hati akan tercedera, sakit dan lemah. Akhirnya anda akan terjebak dalam sesuatu yang keji. Apapun kita boleh mengatasinya dengan perawatan hati yang lebih intensif. Cuba ubati hati anda dengan mengingati Allah SWT, berdoalah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW , “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati hamba di atas jalanMU”.
Kemudian berikan ubat pelali pada hati, apakah ubatnya? Sibukkanlah hati anda dengan ibadah. Berpuasa boleh melemahkan otot-otot syahwat yang tegang. Sembahayang yang khusyuk boleh menjadi meditasi terbaik untuk melenyapkan kekotoran yang keji dalam hati.
Yang kedua pula, ingatlah kemanisan cinta suami yang telah lama membina impian bersama anda. Bangkitkanlah suasana romantik dengan suami, pergi bulan madu agar perasaan cinta berdua semakin kuat. Janganlah sesekali membanding suami anda dengan bekas kekasih lama anda tu. Jika isteri melakukan itu,, sebenarnya si isteri telah membuka satu pintu untuk penceroboh masuk ke laman hati anda.
Isteri yang kerap menyebut kekurangan suami pada hakikatnya dia telah membutakan matanya sendiri. Mungkin banyak kelemahan suami anda tetapi janganlah dilupakan kelebihan-kelebihan yang lain. Sebagai contoh, suami anda jenis yang tidak pandai memujuk atau kurang romantik tetapi selama ini dia sanggup menjaga dan melindungi anda, memberi kehidupan yang selesa untuk anda dan anak-anak.
Jika bekas kekasih lama isteri pandai memuji, memujuk, dan merayu, belum tentu dia sanggup berkorban seperti pengorbanan suami yang telah pun terbukti pengorbanannya sepanjang perjalanan rumahtangga anda. Isteri pasti menyimpan kenangan indah sewaktu berkenalan dengan suaminya dahulu, yang manis elok diingat yang pahit jangan sekali-kali diungkit.
Mengapa Allah SWT menjadikan anda berdua pasangan yang serasi? Semua itu adalah kerana kelemahan isteri menjadi “tarikan” bagi suami untuk menguatkannya dan begitulah sebaliknya. Oleh itu isteri dan suami sentiasa harus saling merangsang dan tarik menarik ke arah medan megnet cinta. Hiduplah dengan gembira di atas kelemahan dan kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT. Percayalah semua itu adalah sebahagian daripada kemansian bercinta.
Wanita yang beriman kepada Allah SWT dan setia kepada suaminya berhak ke atas semua pintu syurga apabila dia sanggup menjaga diri dan maruah seperti dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Apabila seorang wanita sembahayang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluan dan kehormatan dirinya dan mentaati suaminya, maka dia berhak masuk ke dalam mana-mana pintu syurga yang dikehendakinya” ( Hadis riwayat Iman Ahmad)
Jangan dibiarkan hati isteri yang solehah kotor oleh khayalan tentang bekas kekasih. Hati biarlah suci kerana di situlah jatuhnya pandangan kasih dan rahmat Allah swt.

……….