Archive for the poligami Category

Tazkirah Malam: "Jangan Salah Guna Agama Untuk Poligami…abg nak kwin lagi satu..saya izinkan…"

Posted in poligami on November 25, 2010 by sekamarrindu2009


Malam ini sekali sekali lagi saya menulis. kepada sesiapa yang singgah di sini, terima kasih atas kunjungan ukhawah anda..

Tajuk Tazkirah saya malam ini ialah tajuk yang sangat berat untuk dikupas, namun saya akan mengupas seluas-luasnya, dari pelbagai sudut :- “Jangan Salah Guna Agama Untuk Poligami.


Memahami isu poligami bukan semudah yang kaum lelaki fikirkan. Ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW memang tiada kesilapan dan tetap relevan sepanjang zaman. Yang salah dan yang kurang memahami ialah kaum lelaki yang tidak mengerti hukum agama. Isu poligami ini harus dilihat dan ditimbang dari pelbagai sudut. Jadi jangan cuba memahami ayat-ayat al-Quran melalui tafsiran tekstual sahaja kerana diburu nafsu. Pada kebiasaannya si suami akan mencari pelbagai alasan untuk melaksanakan hajatnya. Jadi diharapkan para isteri telah pun bersedia untuk membungkam maksud si suami agar ia tidak layak meneruskan hajatnya jika dikhuatiri suami berlaku tidak adil atau membawa kesengsaraan, penderitaan kepada keluarga sedia ada.

Sahabat-sahabat saya yang dikasihi Allah swt,

Alasan untuk suami berpoligami senang dicari dan beribu-ribu alasan boleh dicipta.Memang segala cara dihalalkan tetapi hakikatnya hendaklah kita kembali matlamat asal. Apakah matlamat sebenar agama Islam membenarkan poligami? Mengapa Rasulullah berbilang isteri? Para orentalis yang membenci Islam telah mereka-reka sejarah dan menyebarkan fitnah keji kepada peribadi Rasulullah. Namun, demikian para pengkaji sirah Rasulullah telah menemukan fakta tentang kesucian Rasulullah SAW.Jika para suami mahu meneliti perkahwian Rasulullah SAW dengan isteri-isterinya itu, pasti ramai suami yang tidak sanggup untuk mengikuti sunnah baginda ini.

Kenapa saya nyatakan begitu?

Rasulullah SAW berkahwin dengan Siti Khadijah selama lebih 25 tahun tanpa ada wanita lain sepanjang hayat Siti Khadijah. Apabila puteri-puteri Rasulullah SAW telah berrumahtangga kecuali Fatimah, dan selepas Siti Khadijah wafat, barulah baginda mencari penggantinya. itupun dengan seorang janda tua yang bernama Saudah binti Zam’ah yang tidak mempunyai keinginan lagi. Tiga orang isteri Nabi yang lain, Ummu Saalmah ( mempunyai ramai anak, Zainab binti Khuzaimah ( wafat setelah berkahwin selama 3 bulan), Maimunnah al-Hilaliyah, mereka semua adalah wanita tua dan miskin yang dikahwini kerana tujuan untuk menolong bekas-bekas isteri para sahabat Nabi SAW yang telah gugur syahid. Ketika itu umat Islam hidup dalam kesusahan, ditindas dan ditekan. Ramai wanita yang menjadi janda selepas Peperangan Badar dan Uhud. Rasulullah memberi teladan supaya kaum lelaki yang kuat sudi menolong para janda yang miskin ini menjaga anak-anak yatim mereka.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah swt,

Di zaman yang moden ini, masih adakah lelaki yang mahu berpoligami dengan wanita tua yang miskin dan beranak ramai? Yang tidak lagi dapat memberi kepuasan seksual lagi? Masih adakah lagi kiranya hati lelaki yang suci sperti baginda dan para sahabat-sahabat Nabi? Jadi tidak perlulah salahkan agama untuk tujuan peribadi.

Isteri-isteri Baginda yang lain seperti Aisyah dan Hafsah (janda) adalah anak Abu Bakar dan Umar, Ummu Habibbah(janda) adalah anak Abu Sufyan. Mereka adalah anak-anak bangsawan Quraisy yang menjadi nadi bagi perkembangan agama Islam. Safiyah (juga seorang janda), adalah anak ketua Yahudi Bani Nadhir. Rasulullah memenangi Perang Khaibar dan mengalahkan Yahudi. Safiyah telah jatuh sebagai tawanan perang, seorang sahabat baginda yang bernama Dahiyah al-Kalbi telahy diberi izin oleh Rasulullah untuk mengambil Safiyah yang telah dua kali menjadi janda untuk dijadikan hamba sahaya. Namun, para sahabat melarang baginda berbuat demikian kerana Safiyah adalah wanita yang paling tinggi kedudukannya antara kaumnya.Untuk mengembangkan dakwah, para sahabat telah mencadangkan Rasulullah mengambil Safiyah dijadikan isteri baginda.

Juwairiyah (janda) adalah anak ketua Bani Mustaliq yang kafir dan menentang Islam tetapi disebabkan Rasulullah memuliakan anak perempuannya seluruh kaumnya memeluk agama Islam. Maryah Qibtiyah adalah wanita hadiah dari Raja Mesir, Raja Maqauqis.Tujuan Baginda mengahwini puteri-puteri orang kenamaan adalah untuk meluaskan dakwah dan menarik keluarga mereka memeluk agama Islam.

Sungguh berat syarat bagi suami yang mahu berpoligami. Dia mestilah seorang yang kuat zahir dan batin, adil dan mampu.Yang memiliki iman dan ilmu yang mendalam, amal dan akhlak yang mulia dan harta yang berlebihan, Yang mengharapkan keredhaan Allah swt bukan demi melampiskan nafsu syahwat yang jijik, bukan untuk menghancurkan anak-anak dan keluarga yang sedia ada. Menzalimi hal isteri, merampas hartanya, dan menghancurkan masa depan mereka adalah merupakan satu dosa.

Semoga mendapat sedikit ilmu dan pengajaran di atas apa yang yang titipkan di ruang ini..semua yang baik adalah daripada Allah swt dan apa-apa yang kurang adalah kelemahan diri saya sendiri..

wasalam..

oooo………tidak..seorang cukuplah..:))