Archive for the Hajat sambut Aidilfitri tak sampai Category

Hajat sambut Aidilfitri tak sampai

Posted in Hajat sambut Aidilfitri tak sampai on August 15, 2011 by sekamarrindu2009

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat Ismail yang maut dalam kemalangan di Jalan Datuk Md. Zin, Lebuh AMJ di Melaka semalam.

MELAKA – Hasrat seorang pemandu teksi untuk menyambut Aidilfitri bersama isteri tercinta dan empat anaknya awal bulan depan tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Datuk Md. Zain di Lebuh AMJ di sini semalam.

Lebih menyedihkan apabila semasa kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa Ismail Zainol Abidin (gambar), 45, dari Taman Sri Kelemak, Alor Gajah mahu keluar mencari rezeki sebagai pemandu teksi selepas makan sahur menu nasi ayam bersama keluarga dan empat anaknya yang berusia lima hingga 13 tahun.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu seorang jururawat, Cynthia Lim Ching Gek, 24, yang memandu kereta Proton Saga BLM.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Supritendan V. Gunasegaran berkata, kemalangan itu berlaku ketika teksi dipandu Ismail yang dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke pusat bandar bertembung dengan kereta Cynthia yang datang dari arah bertentangan.

“Kedua-dua buah kereta itu bertembung di persimpangan lampu isyarat ketika kereta dipandu Cynthia membelok menghala ke Batu Berendam namun terbabas masuk ke lorong bertentangan.

“Ketika itu teksi dipandu Ismail tidak sempat mengelak kereta dipandu Cynthia,” kata beliau.

Menurut beliau, akibat pertembungan itu kedua-dua pemandu kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian.

sumber: kosmo 15hb Ogos 2011